Friday, December 2, 2011

Jejak Warisan Hanafi - Episod 3

Almarhum mempunyai kegemaran yang agak pelik jika ingin dibandingkan dengan rakan-rakan sebayanya. Jika rakan-rakan sebayanya bermain perang-perang selepas sekolah, lain pula dengan Almarhum. Semenjak kecil, Almarhum gemar melihat orang-orang kampungnya bersilat. Almarhum kadang-kadang tidak terus pulang kerumahnya, selepas habis masa sekolah, tetapi pergi melihat orang-orang belajar silat hingga kadang-kadang lewat petang baharu ia pulang kerumahnya. Bila meningkat dewasa, Almarhum gemar pula membuat kajian terhadap silat-silat yang ada di kampungnya atau dikampung-kampung berdekatan.

Almarhum juga gemar membaca. Ia suka membaca buku-buku cerita berkenaan pahlawan-pahlawan Melayu, umpamanya cerita Hang Tuah, cerita berbentuk peperangan, buku-buku mengenai kelebihan Wali-Wali Allah, buku-buku berkenaan agama Islam dan Perundangan Islam. Buku-buku mengenai perundangan Islam (Feqah) karya Kiai Muhammad Fadullah Suhaimi dari Singapurasangat diminati oleh Almarhum kerana buku-buku fahaman Kiai ini sederhana umpamanya, Kiai ini tidak memandang rendah fahaman-fahaman mazhab Islam seperti Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi. Ia tidak ta’asuf (fanatik) terhadap mazhab-mazhab itu.

Menurut pendapatnya orang-orang awam (kebanyakan) boleh mengikut mazhab-mazhab itu, dan sahlah ibadat mereka, walaupun mereka tidak tahu dari mana terdapatnya hukum-hukum Islam itu. Tetapi orang yang cukup pengetahuannya, dan tajam fikirannya, bolehlah mereka mengambil sendiri hukum-hukum dari Quran dan Hadis untuk beramal bagi dirinya, walaupun tidak mengikut mazhab itu sekalipun.

Maka fahaman seperti ini sangat memudahkan orang ramai dan memajukan orang-orang yang sanggup maju menyiasat hukum Islam. Karya-karya Ishak Hj. Muhamad dan Dr. Hamka diminatinya kerana kebanyakan buku-buku ini mempunyai sindiran yang ditujukan kepada semua lapisan masyarakat. Hasil daripada bacaan yang luas ini menyebabkan fikirannya selalu berkembang kerana Hanafi dapat merasakan apa yang tersirat dalam buku itu.

Satu kegemaran Almarhum yang sangat aneh, ialah kegemarannya menziarahi makam-makam pahlawan dan ulamak-ulamak yang salleh lagi ‘keramat’. Umpamanya Almarhum pernah menziarahi makam-makam Tuan Hussein di Titi Gajah, Tuan Sheikh Abdul Jalil, Mufti Negeri Kedah yang meninggal 200 tahun lalu, di Tanjung Pauh, Jitra, Kedah, Tok Pulau Manis di Terengganu, Makam Tuan Syed Abdul Rahman di Kampung Paloh, Terengganu dan Makam Syed Salleh anak Al-marhum Hj. Abdul Ramah, Limbong di Terengganu.

Jejak Warisan Hanafi - Episod 2

Perwatakan Almarhum Ustaz Hanafi sangat berbeza jika ingin dibandngkan dengan pejuang bangsa dan agama di Tanah Melayu kini. Kini, senario politik Malaysia menunjukkan bahawa bangsa, agama dan cara hidup dipisahkan. Sedangkan bagi Almarhum, ketiga-tiga aspek ini tidak boleh dipisahkan, terutamanya bangsa Melayu itu sendiri.


Almarhum dilahirkan pada 1923 di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunung, Alor Star, Kedah. Anak sulung kepada tujuh orang adik beradik seibu sebapa. Berketurunan Melayu Kedah, ibu bapa Almarhum bekerja sebagai petani dan kehidupan mereka anak beranak boleh dikatakan agak senang, walaupun tidak mewah.

Almarhum telah mendirikan rumahtangga dengan Maimunah Binti Osman pada akhir tahun 1947, berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, Kedah. Hasil dari perkongsian hidup mereka telah dikurniakan enam orang anak, lima lelaki seorang perempuan.

Menurut ibunya Hajjah Zainab, sejak kecil Almarhum  mempunyai peribadi berlainan dari adik beradiknya dan kawan-kawan saingannya. Kebijaksanaannya berfikir, melaksanakan sesuatu pekerjaan jauh lebih baik dari rakan-rakannya yang lain. Ibunya ada mengikut petua orang tua-tua, diwaktu Almarhum dilahirkan urinya telah dibuangkan kelaut kerana mengikut petua orang tua-tua akal bayi itu kelak akan luas seperti laut itu juga.

Almarhum  sejak kecil lagi berminat untuk belajar. Segala pelajaran yang di pelajari mudah difahami.

Almarhum juga mempunyai sifat berani. Timbul sifat berani mungkin kerana mungkin ia merupakan anak yang tertua. Juga merupakan orang yang berani diketika itu. Almarhum pernah melihat ayahnya menerajang orang kerana tujuan mempertahankan diri, menjadikan sifat berani itu ada di dalam dirinya.

Almarhum juga tidak mudah percaya kepada orang. Setiap kenyataan perlu dibuktikan kenyataannya samada benar atau tidak. Pernah suatu keberanian telah menjadi satu perkara semula jadi kepadanya – berani kerana benar. Ketika dirumah neneknya bernama Tok Esah, oleh kerana khuatir jambu kelingnya dicuri orang beliau mendakwa sesiapa yang memakannya akan sakit perut. Almarhum tidak percaya atas dakwaan orang tua itu. Suatu malam dicurinya buah jambu tersebut dan dimakannya, tidak pula memudaratkannya. Dari pengalaman ini tahulah ia yang Tok Esah berbuat demikian kerana muslihat lain.

Almarhum juga seorang kanak-kanak yang degil kerana tidak mahu mengikut nasihat orang. Bila dewasa sifat-sifat ini masih kekal. Kebijaksanaannya membolehkan Almarhum berfikir, merancang dan membuat keputusannya tanpa meminta pandangan orang lain.

Thursday, December 1, 2011

Jejak Warisan Hanafi - Episod 1



Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad, anak jati negeri Kedah. Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunung, Alor Setar pada tahun 1923. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah aliran Melayu Kampung Gunung , Alor Setar dan seterusnya belajar agama di beberapa buah pondok dengan beberapa orang Tok Guru Ulama’ di Kedah.


Allahyarham Ustaz Hj. Hanafi bin Haji Ahmad, bagi penuntut Silat Cekak Hanafi merupakan pemimpin agung dalam dunia persilatan Melayu. Pemimpin agung bermaksud, beliaulah orang yang menghidupkan kembali pusaka bangsa seni bela diri orang Melayu yang mampu menjaga diri dan membela diri pengamal-pengamalnya. Ustaz Hanafi yakin bahawa orang Melayu juga mempunyai seni beladiri yang tidak kalah mutunya dibandingkan dengan seni beladiri bangsa lain. Kajian yang terperinci telah dilakukan terhadap pelbagai seni beladiri orang Melayu. 

Beliau pernah belajar Seni Silat Sendeng daripada Pak Ngah Shariff, namun belum sesuai dengan jiwanya. Dalam pencarian, akhirnya dengan izin Allah beliau bertemu dengan Encik Yahya Said yang mempunyai sejenis beladiri yakni Silat Cekak yang menunggu untuk menurunkan silat ini kepada yang hak. Akhirnya selama 40 tahun silat ini dipendam oleh Encik Yahya Said, akhirnya Ustaz Hanafi berjaya mewarisi silat ini dan menjadi Guru Utama.




Ustaz Hanafi pulang ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986 di Kuala Lumpur pada usia 63 tahun. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah dapat digambarkan pemergian seorang pejuang. Beliau meninggalkan seorang balu Hjh. Maimunah bin Hj. Othman dan enam orang anak. Perjuangan beliau diteruskan oleh anak keempat beliau iaitu Md. Radzi bin Hj. Hanafi.



"Percakapan dan perbuatannya sama. Dalam apa jua perbuatan, Allahyarham mempraktikkannya dulu sebelum mendidik. Percakapan dan pandangannya mudah difahami serta selaras dengan tujuan hidup, Allahyarham juga bijak menyesuaikan diri dengan keadaan. Ada ketika menjadi guru, ada ketikanya menjadi bapa dan pada satu ketika yang lain seperti seorang sahabat." ~Pandangan YM Syeikh Hj. Md. Radzi bin Hj Hanafi Al-Qadahi, Pewaris Mutlak Silat Cekak, terhadap pemimpin agung Silat Cekak, Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad. 

Wednesday, April 27, 2011

Monday, January 17, 2011

Syair Ahlul Bait






Syair ini daripada YM Tuan Guru Haji Md. Radzi Bin Haji Hanafi Al-Qadhi, seperti mana disampaikan kepada beliau oleh ayahanda beliau, Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad.
Syair ini diamalkan secara harian di mana sekiranya terdapat wabak yang menular, hendaklah dibaca dan diusap ke bahagian kepala ahli keluarga. Bacaannya bukan seperti membaca doa tetapi ianya dibaca berbentuk Syair Ahlul Bait.
Daripada:
YM Tuan Guru Hj Md Radzi bin Hj Hanafi Al Qadhi
PEWARIS
9 Ogos 2009

sumber: www.silatcekakhanafi.org

Latihan Segerak

Pesan Guru

Saturday, January 15, 2011

Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi

Lahirnya Cekak kerana kesedaran
bukan bermusuh sebagai tujuan
untuk mendaulatkan seni kebangsaan
mensesuaikan dengan makna kemerdekaan

Silat Cekak benar-benar asli
tidak bercampur hak luar negeri
hendaklah belajar bersungguh hati
untuk menjaga diri sendiri

Silat Cekak tersangatlah mudah
bagi mereka yang mendapat hidayah
sungguhpun begitu hendaklah tabah
InsyaAllah mendapat faedah

Silat Cekak pada lahirnya
pengertian gerak pada batinnya
hendaklah mahir seluruh anggota
hendaklah jujur pada jiwanya

Taat ke guru membawa berkat
sedikit belajar banyak yang dapat
jika menderhaka menjadi mudarat
semua ilmu tiada yang lekat

Sebenar guru ada hakikat
dikuat pula amalan syariat
ditambah pula ilmu makrifat
berpakaian pula dengan isyarat

Dua ibu bapa tak boleh derhaka
besar jasanya kepada kita
kalau menderhaka bahaya menimpa
di akhirat kita masuk neraka

Wajiblah menjaga diri sendiri
menerima amanah Tuhan Rabbi
supaya menjadi mukmin sejati
demi menegak Islam yang suci.

By Ustaz Hanafi Haji Ahmad

Setelah beberapa tahun meredah gelombang, akhirnya Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi tertubuh. Semoga dipermudahkan Allah dalam segala perjuangan dan segala usaha diberkati dan dirahmatiNya.

Wednesday, December 22, 2010

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...